Wednesday, September 12, 2012

Ketupat Palas

Selalunya ketupat raya dibuat seperti nasi himpit yang dimasukkan dalam daun kelapa yang dianyam dan dimakan dengan rendang. Tetapi di Kelantan, ketupat tersebut atau dipanggil sebagai ketupat nasi bukanlah makanan popular pada hari raya. Malah ketupat nasi boleh dibeli di pasar-pasar pada hari biasa ataupun di pasar-pasar minggu. Cara makannya dicicah dengan sambal kelapa (dicampur kelapa parut goreng yang ditumbuk halus, bawang merah, isi ikan bakar, lada hitam, serai, gula dan garam).

Untuk raya, orang-orang di Kelantan masak ketupat palas yang dibuat daripada beras pulut yang dikukus dan dicampur santan. Ia dibungkus menggunakan daun palas, sejenis pokok yang tumbuh liar di hutan. Cara bungkusnya ada teknik tersendiri yang bukan senang untuk dipelajari, berbeza dengan cara membungkus ketupat palas di negeri-negeri bahagian utara. Daun palas ni ada 2 jenis: 1. Daun Palas Minyak 2. Daun Palas Belulang. Yang terbaik ialah daun palas minyak kerana daunnya lembut, mudah dibentuk  dan warnanya hijau muda kekuningan.

Ketupat palas ni pun ada pelbagai. Ada yang lemak manis dimakan begitu sahaja, ada yang lemak tawar dan dicicah dengan air gula melaka atau rendang dan ada yang berintikan serunding daging. Ketupat nenek rasanya lemak manis, dicampur dengan kacang ketupat..

Ni resipi ketupat nenek:

Bahan:
4 kg beras pulut
2kg pati santan
1kg gula
1 genggam (tak penuh) + 1 jemput garam [1 jemput garam: 1 cupak beras]
Kacang ketupat (black eye beans) -kacang direbus, hingga empuk. Ketepikan yang pecah-pecah dan bahagian selaputnya yang berwarna hitam supaya keteupat nanti nampak cantik)

Cara:
1. Beras pulut dipilih, dibuang segala yang hitam-hitam
2. Basuh beras beberapa kali  sehingga air basuhan jernih
3. Rendam beras pulut semalaman
4..Kukus pulut sampai masak dalam masa 45-50 min ( Jangan lembik/jangan sampai pecah biji beras)
5. Masakkan pati santan dengan garam, kacau jangan berhenti (jangan lama, sekadar menghancurkan garam)
6.Pulut yang dikukus masak cepat-cepat dimasukkan ke dalam bekas/besen
7. Masukkan pati santan (masukkan sekaligus)
8. Kacau dengan senduk kayu besar (bentuk seperti pendayung sampan)
9. Masukkan gula (masukkan sekaligus setelah disebatikan santan dan pulut sekejap)
10. Masukkan kacang. Teruskan mengacau sehingga pulut sejuk
11. Bungkus dengan daun palas.

Cara merebus:
1. Sediakan kuali tembaga
2. Hidupkan kayu api
3. Letakkan ketupat ke dalam kuali tembaga, masukkan air ( sekadar nampak air, tidak penuh)
4. Pastikan kuali tidak senget supaya masak rata
5. Masak sehingga air betul2 kering ( stand by bila bunyi meletup2 minyak bercampur air)
6. Cepat-cepat angkat dan toskan ketupat supaya tidak mudah basi

No comments:

Post a Comment