Sunday, August 12, 2012

Ayam Chop Chop

Semalam pagi saya ke rumah Kak Maznah. Saya dah berjanji untuk sama-sama ke Simpang Renggam. Hasrat hati nak beli tumpi kacang untuk dibawa pulang beraya di kampung. Tapi itulah, tumpi memang hot; laris dijual.. Di Zainab Jaya dah masuk kali ketiga saya pergi habis.. Yang ada cuma di kedai yang ketiga yang saya masuk. Itupun cuma ada tumpi kacang dal. Harga 2kg tumpi dalam pack plastik rm32. Tapi bila difikir2, lebih baik saya beli yang dalam tin RM40..Bimbang takut hancur sebelum sampai Kelantan kalau beli yang dibungkus dalam plastik..

Dalam perjalanan balik, Kak Maznah ajak saya singgah rumah kawannya di Parit Madirono. Bunyi macam kelakar kan? Di Johor ni memang banyak sangat tempat bernama Parit..Kak Maznah pernah bercerita tentang Pak Aziz Laksamana, tuan punya rumah yang kami nak pergi tu.. Tak sangka, seronok pula saya dengar dia bercerita. Almaklum, orang tua yang banyak pengalaman hidup..

Pak Aziz dah berusia 80 tahun. Pernah sama sekolah dengan Sultan Kedah/ Yang DiPertuan Agong Malaysia sekarang. Juga pernah sama sekolah dengan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir.

Balik rumah, saya search internet.. Oooo, rupanya Pak Aziz ni antara the Golden Boys dalam Malaysian Royal Navy dalam tahun 1950an. Di usia 46 tahun, Pak Aziz terpanggil untuk belajar agama - sesuatu yang tiada dalam angkatan tentera pada masa tu. Keputusan pencen awal dianggap gila oleh kawan2, sebab dia di kemuncak karier, malah apabila dia menyatakan hasrat untuk berhenti; dia ditawarkan kenaikan pangkat dan gaji.. Waktu tu dia dah menjawat jawatan Laksamana dalam TLDM. Katanya, itulah antara ujian yang perlu ditempuh sebelum dia nekad untuk belajar agama..

Dia pada mulanya berguru dengan Hj Wan Hasan, sebelum disuruh meneruskan pengajian di pondok, Kedah. Rupanya tak lama selepas tu, gurunya dijemput kembali ke rahmatullah. Di Kedah, dia dimuliakan oleh penduduk kampung; sehingga gurunya minta dia berhijrah ke Johor; kampung isterinya..

Sekarang dia menetap di Belahan Tabuh, di sebelah sekolah yang diwakafkan olehnya sendiri. Walaupun di kerusi roda, dia masih aktif mengajar sesiapa sahaja yang ingin berguru dengannya. Hatta seorang murid sekalipun, dia tetap mengajar..

Dia ada menulis beberapa syarah kepada kitab-kitab lama seperti Minhaj al-'Abidin, al-Durr al-Nafis, Munyat al-Musalli dan al-Hikam. Dia juga memiliki beberapa kitab lama dalam koleksinya. Saya meminta untuk fotokopi kitab-kitab tersebut dengan kos ditanggung sendiri oleh saya. Tapi katanya, dia tak nak menjual ilmu. Dia bagi percuma kitab2 kepada murid-muridnya. Jadi dia hadiahkan Syarah Munyatul Musalli kepada saya. 3 kitab syarah yang lain dia akan fotokopikan untuk saya. Kitab-kitab lain, katanya dia akan fotokopi kemudian.

Daripadanya saya belajar beberapa perkara tentang kehidupan:
  1.  Antara ilmu, pangkat dan harta; pilihlah ilmu. Tanpa pangkat dan harta sekalipun, Allah akan kurniakan kemuliaan kepada hamba-hambaNya yang berilmu
  2. Jika berilmu, sampaikan ilmu kepada orang lain. Walaupun hanya seorang yang ingin belajar, ajarlah..Itu tanggungjawap orang berilmu
  3. Jangan menjual ilmu.

Bila dah sampai rumah Kak Maznah, saya minta Kak Maznah tunjukkan rupa ayam chop-chop yang dia dok cerita.. Siap saya mintak resipi lagi.. Ia bukan chicken chop. Tapi antara lauk favorite Kak Maznah, yang almarhumah maknya selalu masak. Kak Maznah cakap cara masaknya senang aje, semuanya di chopped chopped, kemudian masuk dalam periuk.

Bahan2:

1/4 ekor ayam, dipotong kecil
5 ulas bawang merah, dimayang
1/2 labu bawang besar, dimayang
3 ulas bawang putih, dimayang
1/2 inci halia, dimayang
buah pelaga, bunga lawang, kayu manis, bunga cengkih
1 biji tomato, didadu
1 sudu teh serbuk kari
daun ketumbar, dicincang
2 cili hijau, dihiris
sedikit garam
sedikit air
sedikit minyak


Cara:

  1. Tumis bawang merah, bawang besar, bawang putih, halia sehingga naik bau
  2. masukkan buah pelaga, bunga lawang, kayu manis, bunga cengkih
  3. masukkan serbuk kari
  4. masukkan ayam dan garam; kacau seketika
  5. masukkan tomato, daun ketumbar
  6. masukkan sedikit air
  7. bila kuah dah hampir kering, masukkan cili

No comments:

Post a Comment